DALAT – Empat kru kapal layar dari Rusia berdepan detik cemas apabila terkandas di beting pasir Kuala Oya di sini semalam ekoran cuaca buruk dan kerosakan alat navigasi (GPS).
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika ombak kuat, angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, pihaknya menerima daripada orang awam yang melihat kapal tersebut tersangkut di beting pasir kira-kira 50 hingga 100 meter (m) dari pantai.
“Kami menghubungi Angkatan Pertahan Awam Bintulu dan Pusat Kawalan Operasi Maritim Kuching, namun keadaan ombak kuat menyebabkan polis dan penduduk tidak dapat memberikan bantuan segera kepada kru kapal,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, apabila keadaan reda pada pukul 10 malam, pegawai polis dan penduduk meredah hutan di tepi pantai sejauh 300m dan berjaya menemui kru kapal yang berlindung di daratan pantai Kuala Oya.
Kesemua warga Rusia itu berlayar dari Filipina dan singgah di Labuan seterusnya akan ke Kuching, namun sewaktu dalam pelayaran dari Miri, kapal mereka mengalami kerosakan alat navigasi dan terperangkap di beting pasir Kuala Oya.- KOSMO! ONLINE