PUTRAJAYA- Lebih 6,000 pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilaporkan meletakkan jawatan dalam tempoh lima tahun lalu turut melibatkan 3,200 pegawai perubatan kontrak yang beralih ke jawatan tetap.
Penjelasan itu dibuat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran X yang turut menyifatkan langkah dibuat pegawai perubatan kontrak itu sebagai sebahagian prosedur ditetapkan KKM.
Katanya, jumlah itu turut melibatkan sesetengah doktor yang beralih ke bidang akademik, namun masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.
“Saya telah mendengar semua kebimbangan anda dan juga doktor kami. Saya mengakui bahawa KKM kekurangan kakitangan di mana sesetengah daripada mereka terlebih bekerja.
“Meskipun wujud kekangan masa, saya akan pastikan semua isu dihadapi di lapangan dapat ditangani,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada hantaran pakar nefrologi, Dr. Rafidah Abdullah yang mahu mengetahui langkah kawalan yang akan diambil KKM berhubung isu itu.
Terdahulu, Dr. Dzulkefly mendedahkan seramai 6,417 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak meletakkan jawatan sejak 2019 hingga 2023.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, KKM turut memperkenalkan beberapa langkah strategik bagi mengekalkan pegawai perubatan meskipun menyifatkan tidak dapat menghalang kumpulan itu sekiranya ingin berpindah termasuk ke sektor swasta.
“Dalam jangka sederhana, menerusi inisiatif Rakan KKM Partnership kita akan saksikan beberapa perubahan.
“Ia termasuk prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan dinaik taraf di mana bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada perkhidmatan ekonomi premium iaitu Rakan KKM,” katanya.
Jelasnya, langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja lebih anjal dan membenarkan amalan lokum juyga merupakan antara inisiatif dilaksanakan KKM.
“KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE