BOSTON, MASSACHUSETTS – Polis negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila mendapati ular yang ditangkap di sebuah rumah adalah palsu, lapor agensi berita United Press International semalam.
Jabatan Polis Needham berkata di media sosial, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berhubung dakwaan kemunculan ular di dalam sebuah rumah.
“Dua anggota polis mengiringi pegawai kawalan haiwan untuk membantu seorang wanita yang membuat panggilan.
“Tanpa menghiraukan keselamatan, salah seorang anggota polis, Matthew Palmer, segera memegang kepala reptilia itu sebelum membawanya keluar dari rumah dengan selamat.
“Bagaimanapun, Palmer menyedari bahawa ular yang dipegangnya adalah replika.
“Rupa-rupanya, ‘ular’ itu diletakkan di dalam rumah dengan sengaja oleh salah seorang penyewa untuk menakut-nakutkan wanita berkenaan,” tambah jabatan tersebut. – AGENSI