KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan mengenepikan Negeri Sembilan dengan agregat 6-2 sebentar tadi.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini itu, skuad Sang Penyu berjaya menewaskan skuad Jang 4-2.
TFC bakal bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat separuh akhir yang diibarat bagai ulangan final musim lalu.
Begitupun TFC hampir tersentak dengan semangat melawan skuad Jang yang berjaya mendahului 2-0 sekaligus menyamakan agregat 2-2 dalam tempoh 34 minit pertama perlawanan.
Negeri Sembilan mendahului menerusi sepakan penalti yang tenang disudahkan penyerang, Muhammad Hadin Azman pada minit ke-24.
Terdahulu skuad pelawat dihadiahkan penalti itu setelah pemain tengah importnya, Jacque Faye disahkan dikasari pertahanan tuah rumah, Muhammad Alif Zakaria oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Negeri Sembilan semakin bersemangat apabila meraih gol kedua apabila pemain tengah, A.Selvan yang bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol TFC, Muhammad Radaiazli Rahalim untuk melepaskan tendangan padu menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-34.
Skuad Sang Penyu yang tersentak kembali menggandakan serangan sebelum berjaya mendekatkan jurang menerusi gol pertama dijaringkan pemain sayap, Akhyar Rashid pada minit ke-41.
Akhyar kemudiannya memberi hantaran cantik yang disempurnakan ketua pasukan, Safawi Rasid pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Aksi TFC semakin kemas apabila pemain pertahanan, Azam Azmi Murad berjaya menyambut hantaran Nelson Bonilla untuk meledak gol ketiga pada minit ke-81.
Pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menyempurnakan penalti pada masa kecederaan babak kedua. – KOSMO! ONLINE