MELAKA – Kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai program bagi melonjakkan industri halal ke arah pertumbuhan inklusif, sekali gus menjadi Hab Halal Antarabangsa yang menerajui produk-produk halal di peringkat dunia.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, fokus itu seiring dalam merealisasikan sasaran pasaran produk dan perkhidmatan halal negara untuk menjangkau RM22 trilion (USD5 trilion) menjelang tahun 2030.
Katanya, Melaka juga mempunyai syarikat industri halal pertama beroperasi di Malaysia iaitu Melaka Halal Hab bertujuan membantu pembangunan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) negeri dan memantau pengeluaran barangan halal.
“Melaka merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jika dibandingkan pada awal dekad yang lalu di mana Melaka hanya memiliki beberapa puluh perniagaan halal sahaja.
“Saya menjangkakan rekod ini akan terus meningkat kerana kerajaan negeri optimis merencana pelbagai usaha bagi melonjakkan industri halal dan memastikan Melaka menjadi hab industri halal yang menerajui produk halal di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Pada program tersebut lebih 250 pemain industri halal dihimpunkan daripada pelbagai bidang termasuklah penyertaan lebih 10 negara luar antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Iran dan Singapura.
Program itu juga memperkenalkan sudut ‘Kampung Dalam Kota’ yang menawarkan pelbagai jualan melibatkan lebih 70 peniaga di samping lebih 30 syarikat di bawah industri pelancongan halal.
Tambah Ab. Rauf, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan industri halal yang sebelum ini lebih sinonim dengan sektor minuman dan makanan telah mencakupi pelbagai bidang lain termasuk farmaseutikal, kosmetik, perbankan, pelancongan dan logistik. – KOSMO! ONLINE