JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bahawa tidak akan berdepan isu kekurangan bekalan makanan meskipun berdepan cabaran banjir ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekurangan bekalan itu boleh ditampung menerusi hasil kerjasama antara negara Asean untuk mengimport makanan itu.
Katanya, Malaysia berada di kedudukan kedua di belakang Singapura dari segi keterjaminan makanan merujuk kepada Food and Agriculture Organization (FAO) bagi rantau ini.
“Dalam negara Asia ini, nombor satu keterjaminan makanan ukuran United Nations ialah Singapura, kita jatuh nombor dua. Singapura bukan ada apa-apa tanaman mereka.
“Di mana dia dapat ayam? Dia melabur di Johor, di mana dia dapat padi? tentulah dia ada kerjasama di Vietnam ataupun Thailand. Mana dia dapat daging dan sebagainya? Tentulah ada kerjasama dengan Australia.
“Kita sekarang pun perlu begitu dan tidak boleh lagi bergerak secara solo. InsyaAllah, sama ada sesama Asean (jalin kerjasama),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor di Pulai Springs Resort, di sini hari ini.
Mohamad berkata, sebelum ini, India telah bersetuju untuk memberi 200,000 ton beras putih, malah harganya dapat diturunkan sedikit daripada RM3,000 satu tan metrik kepada RM2,800. – KOSMO! ONLINE