fbpx

[KEMASKINI] Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat ditubuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PUTRAJAYA – Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatankuasa itu dibentuk selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa teknikal itu antara lain akan bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat selain meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat serta mengesyorkan cadangan penyelesaian.

“Jawatankuasa teknikal ini juga bertanggungjawab menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Selain itu, jawatankuasa ini akan mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan Sidang Darurat MKN yang diadakan secara sidang video bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

Sidang Darurat bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat persekutuan dan negeri itu diadakan buat pertama kali selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Setiap ahli mesyuarat yang hadir diasingkan di beberapa bilik di tingkat berlainan di bangunan berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI