LONDON – Seorang peminjam di sebuah perpustakaan di United Kingdom memulangkan semula buku yang dipinjam selama lebih tiga dekad, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Perpustakaan Crediton yang terletak di England berkongsi perkara itu menerusi laman Facebook pada Khamis lalu.
“Kami sangat berterima kasih kepada peminjam (yang namanya tidak didedahkan) kerana memulangkan semula salinan buku berjudul Thomas’s ABC.
“Semakan pada tarikh menunjukkan pemulangan buku ini tertunggak lebih 31 tahun,” kata pihak perpustakaan itu di media sosial.
Imej yang dimuat naik menunjukkan sampul surat tanpa alamat, buku dan kad pinjaman yang bertarikh pada 25 Mac 1993.
“Bagaimanapun, kami tidak lagi mengenakan denda ke atas buku kanak-kanak,” tambahnya. – AGENSI