PETALING JAYA – Konsert One Love Music Festival yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini dibatalkan pada saat akhir.
Penganjur juga pengasas Tuff KL, Muhammad Zul Aqil berkata, keputusan itu diambil berikutan kekurangan dana bagi menampung kos penganjuran.
“Dengan rasa penuh kesal, Tuff KL ingin memaklumkan One Love Music Festival yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember 2024 di MAEPS, Serdang terpaksa dibatalkan akibat kekurangan dana.
“Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai cabaran yang dihadapi.
“Kami ingin menegaskan bahawa pembatalan ini tidak melibatkan mana-mana rakan strategik, penaja, atau vendor yang terlibat,” katanya dalam hantaran Instagram.
Ujarnya, Tuff KL juga ingin memohon maaf atas segala kesulitan dan akan berusaha untuk proses pengambalian wang kepada pembeli tiket.
“Kami memahami kekecewaan peminat yang menantikan festival ini dan ingin memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
“Pihak kami sedang menguruskan proses berkaitan pembatalan, termasuk pemulangan dana kepada pembeli tiket,” kongsinya.
Menurut Muhammad Zul Aqil lagi, maklumat lanjut akan diumumkan melalui saluran rasmi kami, @olmfest_ dalam masa terdekat.
Pada masa sama, pihak Tuff KL turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bersabar dan memahami situasi mereka lalui ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong One Love Music Festival, termasuk penonton, artis, penaja, rakan strategik, dan vendor.
“Sokongan anda amat kami hargai, dan kami berharap dapat bangkit semula dengan acara yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, One Love Music Festival bagi edisi kali ini merupakan sebuah acara muzik membabitkan penampilan 12 penyanyi dan band dari Malaysia dan Indonesia.
Antaranya termasuk Hujan, Drama Band, Masdo, Insomniacks, Bunkface, Drama Band, 53 Universe, Gerhana Ska Cinta selain Salma Salsabil, Nadin Amizah serta Nabila Taqiyyah.
Bahkan menerusi perkongsian di laman sosial, beberapa penyanyi Indonesia sudah tiba di Kuala Lumpur semalam.
Pihak penganjur pada bulan lalu turut mengumumkan sebanyak 4,000 tiket sudah ditempah sekali gus pengumuman pembatalan sehari sebelum konsert mengecewakan ramai. – KOSMO! ONLINE