PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pengecualian tol kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua lebuh raya sempena sambutan Krismas ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol ini bermula dari pukul 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
Katanya, pengecualian ini diberikan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
“Pengecualian tol ini diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia Madani yang berbilang kaum, budaya dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.
“Pengguna juga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini,” katanya.
Penunggang motosikal juga ujarnya, dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya.
Tambahnya, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau
sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@lImtrafik).
“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan manakala bagi mendapatkan info trafik melalui paparan CCTV boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE