SEGAMAT – Seramai 76 mangsa banjir terdiri daripada 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak di sini masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini ekoran rumah mereka masih ditenggelami air banjir termenung.
Menurut salah seorang mangsa banjir, Fendy Iskandar, 20, selain kawasan rumah dilanda banjir selut kini mereka berdepan pula masalah banjir termenung sejak tiga minggu lalu.
“Hujan lebat luar biasa sudah berkurangan sejak beberapa hari lalu di sini namun air kekal bergenang di sekitar rumah.
“Air banjir termenung sedalam 0.3 meter masih ada, tak tahulah akan ambil masa berapa lama nak surut, kami dah tiga minggu di PPS, harap cepatlah air surut,”katanya ketika ditemui di sini.
Menceritakan pengalaman berdepan banjir pada tahun 2006 dan 2011, Fendy berkata, penduduk kampung terpaksa membersihkan selut sebanyak 10 kali sebelum air benar-benar kering.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Maheran Adon, 78, dia masih bimbang kerana air masih bertakung di halaman dan belakang rumah.
“Saya sudah bersihkan bahagian dalam rumah selepas air surut sejak beberapa hari lalu tetapi pagi ini air banjir masih bertakung.
“Keadaan cuaca tak menentu saya bimbang juga takut air naik lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, sehingga kini seramai 93 mangsa banjir masih ditempatkan di PPS seluruh negeri ini.
Katanya, mereka terdiri daripada 23 keluarga yang masih terjejas membabitkan daerah Segamat dan Batu Pahat. – K! ONLINE