SINGAPURA – Seorang pemandu kenderaan e-hailing terpaksa menekan brek mengejut awal pagi tadi selepas melihat tiga basikal bersusun di atas sebatang jalan raya di Singapura, lapor portal berita MSNews hari ini. .
Menurut catatan di laman Facebook, dua syarikat perkongsian basikal berbeza disyaki sebagai pemilik ketiga-tiga kenderaan tersebut. Tiga basikal itu diletakkan di hadapan sebuah perhentian bas berhampiran selekoh menuju ke Stirling Road.
Pada kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan), pemandu e-hailing itu menyedari kehadiran tiga basikal di jalan raya tersebut.
Untuk mengelak daripada melanggar basikal-basikal itu, dia menekan brek menyebabkan penumpangnya menumpahkan makanan di dalam kereta.
Pemandu itu keluar daripada kenderaan untuk mengalihkan basikal-basikal itu.
Namun, sebelum sempat dia mengalihkan basikal ketiga, sebuah teksi lain gagal berhenti tepat pada masanya lalu merempuh basikal tersebut.
Netizen menyuarakan kemarahan mereka terhadap kejadian itu dan menganggap ia sebagai gurauan tidak bertimbang rasa dan berbahaya.
Polis Singapura bagaimanapun mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. – AGENSI