PONTIAN – Akibat panik dan takut dikenakan tindakan kononnya terbabit dengan jenayah, seorang suri rumah menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM200,060.28 kepada ‘scammer’.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abd. Hamid Abd. Rahman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar pegawai polis pada 24 November lalu.
“Suspek beritahu mangsa ada rekod jenayah dan bersedia untuk membantu wanita itu bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Mangsa diarahkan membuka satu akaun bank baharu dan diminta untuk memindahkan wang ke akaun (baharu) tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk meninggalkan kad bank baharu di sebuah stesen minyak di Pontian selain memberikan butiran kad bank. Suspek berjanji akan memulangkan kad tersebut selepas kes selesai.
“Mangsa mula curiga apabila suspek gagal untuk dihubungi dan pergi ke bank untuk membuat semakan. Mangsa mendapati wangnya berjumlah RM200,060.28 dikeluarkan oleh suspek tanpa pengetahuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE