PETALING JAYA – Pelakon Lana Nodin meluahkan rasa syukur diberi peluang mencium Hajar Aswad buat kali kedua ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, Mekah.
Ujar Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 46, pengalaman tersebut berlaku dengan penuh ketenangan dan sesuatu yang dianggapnya sebagai rezeki tidak ternilai.
“Alhamdulillah, rezeki Jumaat kali kedua dapat cium Hajar Aswad dengan tenang.
“Masa ini memang sudah tidak boleh nak cakap apa-apa, sangat sedih dan terharu dapat kucup, pegang.
“Hanya Allah tahu betapa gembiranya saya masa ini, macam menang 1000 anugerah, suami pun dapat kesempatan sama,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu memuat naik video memperlihatkan dirinya mencium batu dari syurga itu dengan keaadan yang dipermudahkan Tuhan.
Perkongsian tersebut segera menarik perhatian ramai, terutama peminat yang turut menzahirkan rasa syukur di ruangan komen.
“Syukur sangat. Tidak semua orang ada peluang seperti ini. Alhamdulillah,” tulis seorang pengguna Instagram.
“Masya-Allah. Allah memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Semoga terus dimurahkan rezeki,” komen yang lain.
Pada 12 Disember lalu, Lana memaklumkan dia bersama suami, Mohd. Daud McKienzie, serta dua anak mereka, Gia Quinn Mckienzie, 8, dan William Daud Mckienzie, 5, berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Menerusi perkongsian dalam media sosial, Lana memohon doa agar segala urusan ibadah mereka sekeluarga dipermudahkan.
Aktres yang terkenal dengan lakonan antagonis itu dilihat semakin mendekatkan diri dengan agama, dan perjalanan umrahnya mendapat sokongan serta doa daripada peminat. – KOSMO! ONLINE