KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan bahawa mereka tidak meneruskan khidmat jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Tan Bin Shen dan keputusan tersebut berkuat kuasa bermula 13 Januari depan.
Bin Shen yang menyertai BAM pada 2020, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan beregu lelaki negara, termasuk kejayaan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah sebagai Juara Dunia dan juga di pentas Sukan Olimpik.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong mengesahkan perkara tersebut dan mengucapkan terima kasih terutama atas jasa Bin Shen yang turut memberikan sumbangan besar kepada sukan badminton Malaysia.
“Bin Shen membuat sumbangan besar kepada badminton Malaysia dan komitmennya untuk memupuk bakat serta juara adalah tidak ternilai.
“Kami amat berterima kasih atas kerja keras dan dedikasi beliau,” kata Kenny dalam satu kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Bin Shen turut berbangga terutama perjalanannya bersama skuad negara terutama mengecapi kejayaan yang cukup manis.
“Ia adalah satu perjalanan yang amat bermakna bekerja bersama pasukan beregu lelaki. Saya bangga dengan pencapaian kami dan saya bersedia menghadapi cabaran baharu,” katanya.
BAM dalam pada itu turut memaklumkan pihaknya akan mengumumkan ketua jurulatih baharu bagi beregu lelaki dalam masa terdekat ini. -KOSMO! ONLINE