CALON yang berminat untuk bertanding dalam ‘kerusi panas’ selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres Pemilihan tahun depan perlu mendapatkan sokongan ‘padu’ daripada ahli gabungan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, jawatan Presiden FAM memerlukan sekurang-kurangnya enam pencalonan, manakala Timbalan Presiden FAM pula lima pencalonan.
“Sesiapa yang berminat untuk bertanding, jawatan presiden kena ada enam pencalonan daripada ahli gabungan. Sementara itu, timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan.
“Bagi jawatan naib presiden pula empat pencalonan dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan. Tiada had untuk sesiapa yang mahu bertanding nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Azman turut mengesahkan pihak persatuan akan menghantar notis dan borang pencalonan kepada ahli gabungan dan persatuan bola sepak negeri dalam masa terdekat.
“Kita akan hantar ke persatuan negeri notis mengenai kongres selain borang pencalonan, tetapi tarikh kita akan maklumkan kemudian.
“Cuma, mengikut statut mereka perlu mencalonkan nama yang bertanding 45 hari sebelum kongres,” katanya lagi.
Sebagai rekod, jawatan presiden dijangka menjadi ‘rebutan’ selepas penyandang, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin mengesahkan tidak akan pertahankan jawatannya pada penggal akan datang.
Kosmo! sebelum ini mendedahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar terbuka untuk bertanding jawatan Presiden FAM sekiranya mendapat ‘restu’ Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain Shahril nama Naib Presiden FAM ketika ini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub turut dicadangkan oleh ahli gabungan untuk jawatan itu.