LONDON – Pengurus Tottenham Hotspurs, Ange Postecoglou memuji aksi menghiburkan yang dipamerkan pasukannya selepas mengesahkan tempat ke pentas separuh akhir Piala Liga Inggeris awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri itu, ia berakhir dengan tujuh gol terhasil apabila Spurs menundukkan Manchester United 4-3 hasil dua jaringan Dominic Solanke, Dejan Kulusevski dan Son Heung-min.
Bagaimanapun, taktikal menyerang sehingga mengabaikan benteng pertahanan menyebabkan Postecoglou dikritik apabila ada pihak menganggap taktikalnya menyebabkan gawang mereka terdedah dengan bahaya apabila United hampir bangkir biarpun mereka mendahulu dengan tiga gol.
“Adakah anda tidak terhibur dengan aksi kali ini? Apa yang anda mahukan? Anda mahu perlawanan ini berakhir dengan 1-0 sahaja? Saya sedar ramai yang mengkritik taktik yang saya gunakan, tetapi saya suka dengan fakta bahawa kami turun dan memenangi perlawanan tanpa mengira jumlah bolos.
“Ketika ini, kami kehilangan ramai pemain, penjaga gol, dua pemain pertahanan, pertahanan kiri dan kami hanya memiliki pemain muda di bangku simpanan, tetapi pada akhirnya pemain mengekalkan prinsip untuk bermain dengan cara kami sendiri.
“Kami beraksi dengan baik, mengawal perlawanan dan kami sepatutnya lebih selesa untuk memenangi perlawanan. Namun, kami berjaya melakukan tugas ini dengan cukup luar biasa dan saya bangga dengan aksi semua pemain,” jelasnya.
Postecoglou mengakui penjaga golnya, Fraser Forster agak kecewa apabila dua daripada tiga gol dihasilkan United adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukannya.
“Dia sangat kecewa. Dia tidak banyak beraksi pada separuh masa pertama dan cukup baik melakukan hantaran daripada belakang. Selepas kesilapan pertama, dia berdepan masalah keyakinan sehingga menyebabkan berlaku kesilapan kedua.
“Saya percaya dia adalah pemain yang matang dan mampu mengharungi tempoh ini dan keluar daripada kesukaran yang dialami akibat kritikan peminat,” ujarnya. – AGENSI