KUALA LUMPUR – Pelakon baharu, Zairi Aziz enggan pembabitan dalam dunia lakonan dibayangi oleh kakaknya yang juga seorang pelakon dan model terkenal, Nasha Aziz.
Meskipun sedar status tersebut akan memberi jalan mudah dalam bidang seni, Zairi, 22, mahu dikenali atas bakatnya sendiri.
“Saya tahu bagaimana saya cuba lari orang akan tetap akan tahu Nasha adalah kakak saya. Tetapi saya mahu orang kenal saya atas lakonan dan kemampuan diri sendiri.
“Kalau ada yang kata saya menumpang nama Nasha, saya takkan jawab. Saya mahu buktikan kepada orang saya boleh berlakon,” katanya.
Dalam pada itu kata Zairi, dia tidak tertekan bergelar adik kepada Nasha Aziz kerana yakin mereka berdua memiliki kelebihan tersendiri.
Walaupun mempunyai pertalian darah Zairi memaklumkan dia dan Nasha tidak begitu akrab meskipun berkongsi bapa.
“Sebenarnya saya tidak rapat dengan Nasha. Kami berkongsi bapa yang sama, tetapi ibu berlainan. Kami terakhir berjumpa pun ketika arwah bapa meninggal pada 2017.
“Tapi kalau berpeluang untuk jumpa Nasha, saya gembira, mungkin boleh berkongsi nasihat atau sebagainya,” katanya.
Berbicara tentang karier seni, jelas Zairi dia bermula sebagai model dan menjadi pelakon tambahan dalam pelbagai filem serta drama.
“Saya belajar silat sejak kecil kerana arwah bapa merupakan guru silat Helang Putih. Jadi, saya sangat minat untuk menjadi seorang pelakon aksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE