LUMUT – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menafikan bebanan tugas pegawai perubatan di Hospital Seri Manjung (HSM) adalah tinggi disebabkan kekurangan doktor seperti dakwaan sebuah artikel dalam talian, baru-baru ini.
Pengarah JKN Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, memberitahu ketika ini beban tugas bagi pegawai perubatan yang merawat pesakit di wad dan kekerapan bilangan tugas atas panggilan di HSM adalah setara dengan hospital-hospital lain dan dianggap tidak terlalu membebankan.
“HSM merupakan sebuah Hospital Pakar Minor yang mempunyai 305 katil, dengan kadar penggunaan katil (BOR) hospital secara purata 80 hingga 90 peratus,” ujarnya di sini hari ini.
Menurutnya, HSM menyediakan 14 perkhidmatan kepakaran pelbagai bidang termasuk di Jabatan Perubatan yang mempunyai 30 pegawai perubatan yang bertugas meliputi empat wad perubatan dengan purata tujuh pegawai perubatan di setiap wad.
Jelasnya, khusus bagi Jabatan Perubatan, BOR bagi tahun semasa adalah antara 90 hingga 120 peratus.
Katanya, ia bermakna secara purata terdapat 25 hingga 33 pesakit dalam setiap wad, yang mana secara purata seorang pegawai perubatan merawat tiga hingga empat pesakit pada satu-satu masa.
Tambahnya, kekerapan tugas atas panggilan aktif setiap pegawai perubatan pula adalah empat hingga lima kali sebulan, dan tugas atas panggilan pasif iaitu pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, adalah sebanyak dua hingga tiga kali sebulan.
Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui JKN Perak mengambil maklum sebuah laporan yang diterbitkan di laman sesawang CodeBlue yang dikatakan tulisan seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Seri Manjung. – KOSMO! ONLINE