PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan tersebut dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu.
Menurut beliau, pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat itu melibatkan satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik.
Jelasnya, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.
“Pihak Kementerian Pengangkutan sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun hadapan,” katanya.
Katanya lagi, keputusan prinsip ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370. – KOSMO! ONLINE