PETALING JAYA – Perasaan teruja dan gembira dirasakan setiap bakal jemaah haji apabila menerima surat tawaran mengerjakan ibadat suci itu di Mekah bagi musim 1446H/2025M.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai dalam kalangan bakal haji memaklumkan mereka mula mendaftar haji di Lembaga Tahun Haji (TH) pada tahun 2009 dan selepas 15 tahun kebanyakan kumpulan tersebut menerima tawaran panggilan Ilahi.
“Saya daftar haji Julai 2009. Alhamdulillah dapat tawaran haji 2025,” kata Napisah.
“Ya Allah atas rezekiMu, selepas 15 tahun rezeki aku dan suami sampai mengerjakan haji hanya keranaMu Ya Allah,” luah Syuhada.
“Alhamdulillah dapat tawaran haji untuk tahun depan. Daftar pada Julai 2009. Berdebar nak buat pemeriksaan kesihatan,” kongsi ZattyJason.
“Saya dan suami daftar pada Juj 2009. Alhamdulillah kami dapat tawaran untuk musim haji 1446H/2025M. Beluk jawab lagi surat tawaran sebab takut nak buat pemeriksaan kesihatan.
“Daftar Jun 2009, alhamdulillah kami satu keluarga dijemput. Tapi percaturan Allah lebih baik, mungkin berdua atau bertiga sahaja yang pergi daripada berlima. Doakan keputusan kesihatan abah lepas untuk pergi,” kata Mizslera.
Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media khas memaklumkan surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim 1446H/2025M telah dikeluarkan secara berperingkat mulai 16 Disember lalu.
Beliau berkata, bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran. – KOSMO! ONLINE