PETALING JAYA – Orang ramai di sekitar MRT Ampang Park hari ini dikejutkan dengan kehadiran patung robot kanak-kanak gergasi ikonik, Young-Hee daripada drama terkenal Squid Game sebagai sebahagian daripada promosi musim kedua drama itu yang bakal ditayangkan pada 26 Disember ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial, mendapati ramai penumpang teruja dengan promosi luar biasa ini, yang turut disertai oleh sekumpulan askar Pink lengkap berpakaian seragam merah jambu dan topeng simbolik Squid Game.
Askar Pink tersebut dilihat mengawal patung tersebut sambil berinteraksi secara senyap dengan orang ramai, menambahkan elemen misteri dan mendebarkan kepada suasana.
“Promosi Squid Game kali ini memang lain macam. Tadi nak pergi kerja, nampak patung besar itu depan mata, terkejut saya,” kata seorang pengguna media sosial, Daisy Rose.
Kehadiran Young-Hee dan askar Pink itu turut mengingatkan segelintir orang kepada adegan mendebarkan dalam permainan pertama siri tersebut.
“Menakutkan, tiba-tiba datang bagi kad macam dalam cerita Squid Game. Tapi seronok juga tengok patung besar itu,” ujar seorang penumpang, Manja.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Tokisaki Kurumi, bergurau mengatakan Squid Game kini seolah-olah ‘mengawal seluruh dunia’ dengan gimik yang kreatif.
“Habislah Squid Game yang kawal seluruh dunia ni dah ada dekat Malaysia,” usiknya.
Musim kedua drama popular Korea ini dijangka menampilkan cabaran baharu dan watak-watak menarik yang telah lama dinantikan oleh peminat.
Patung robot tersebut akan terus dipamerkan di hadapan MRT Ampang Park sehingga hujung minggu ini, memberikan peluang kepada orang ramai untuk merakam kenangan bersama ikon tersebut. – KOSMO! ONLINE