fbpx

Selayaknya! Seniman berstatus Datuk serba boleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA hiburan sentiasa dipenuhi bakat unik dan personaliti memikat, tetapi hanya segelintir mampu berdiri sebagai bintang serba boleh.

Mereka bukan sekadar ikon glamor, malah simbol ketekunan, kreativiti dan kehebatan tanpa batas.

Sama ada di layar perak, pentas teater, studio rakaman atau dunia perniagaan, mereka terus memukau hati peminat melalui bakat pelbagai dimensi.

Di sebalik setiap pencapaian gemilang mereka, terselit kisah perjuangan, kegigihan dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Gala minggu ini menampilkan empat figura versatil yang bukan sahaja mencorakkan landskap seni tempatan tetapi juga meninggalkan impak mendalam kepada masyarakat.

  • Datuk Awie

Vokalis kumpulan Wings, Awie mula mencipta nama pada 1987 menerusi album Belenggu Irama. 

Populariti Awie sebagai ikon rock terus melonjak apabila beliau mula menceburi bidang lakonan.

Filem seperti Pemburu Bayang memperlihatkan sisi seriusnya, tetapi keupayaan membawa watak komedi dalam Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah mengejutkan ramai.

Bukan itu sahaja, kredibiliti pelantun lagu Sejati itu tidak perlu lagi dipertikaikan apabila dia menjadi pengacara dalam rancangan Tunggu Sekejap pada 2012.

Gabungan kesemua elemen seni itu melayakkannya sebagai penghibur seni serba boleh.

  • Datuk Afdlin Shauki

Pelakon pengarah, dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki Aksan mula dikenali menerusi filem arahan sulungnya, Buli pada 2004.

Beliau terus mencipta kejayaan dengan karya seperti Baik Punya Cilok, Papadom dan Sumolah.

Afdlin turut aktif dalam dunia komedi dengan menerbitkan program popular seperti Super Spontan dan Lawak Ke Der. 

Walaupun lebih dikenali sebagai pelakon dan pengarah, Afdlin sebenarnya memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi di bawah label Roslan Aziz Produksi pada 1996.

Selepas itu, dia mula dikenali dalam televisyen sebagai pengacara rancangan Golden Dreams yang meletakkan beliau sebagai Penyampai Terbaik dalam Anugerah Televisyen Asia tahun 1999.

Kepelbagaian bakatnya menjadikannya antara individu paling dihormati dalam industri hiburan tanah air.

 

  • Datuk Imuda

Lebih dikenali dengan watak komedi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda juga merupakan seorang kartunis terkenal.

Karyanya dalam majalah Gila-Gila suatu ketika dahulu mencetuskan fenomena yang banyak berkisar kepada sejarah negara menggunakan watak tentera Jepun seperti Yushimura.

Selain kartun, Imuda juga mahir dalam seni lukisan potret dan sering mengadakan pameran selain membuka bengkel kelas lukisan bagi mencungkil bakat baharu.

Sehingga kini Imuda masih lagi bergiat aktif dalam dunia lakonan menerusi pelbagai drama dan telefilem.

  • Datuk M. Nasir

Dilahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957, Datuk M. Nasir atau nama sebenarnya Mohammad Nasir Mohamed merupakan figura yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Diberi julukan ‘sifu’ oleh penggiat seni, beliau seorang pelukis, penyanyi, pelakon, dan komposer yang telah menghasilkan ratusan lagu hits.

Memulakan kerjaya sebagai pelukis, lelaki berusia 67 tahun itu kemudian diberi peluang menulis lirik untuk kumpulan Alleycats sebelum namanya melonjak sebagai komposer tersohor.

Wataknya sebagai Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang juga amat sinonim dengannya malah memberi impak sehingga kini menjadikannya ikon seni sejati.

Pada tahun 2014, beliau kembali kepada cinta awalnya, seni lukisan, menerusi pameran ‘Tanda’ yang menerima pujian ramai malah kesemua lukisannya habis dijual pada hari pertama pameran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI