PETALING JAYA – Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan penghargaan terhadap setiap usaha dan bantuan yang diberikan oleh Malaysia untuk Palestin dari dulu hingga kini.
Penghargaan itu disampaikan melalui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8 di Kaherah, Mesir.
Zambry berkata, beliau ketika bertemu Mahmoud turut menyatakan Malaysia sentiasa teguh dengan pendirian dalam memberi sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat dan negara Palestin.
“Kita doakan keamanan di Gaza dan paling penting semoga rakyat di sana mendapat perlindungan dan terus terbela nasib mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Malaysia percaya Deklarasi Kaherah akan membentuk suara kolektif bagi menghentikan penderitaan termasuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, tetapi juga secara terang-terangan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
Selain itu, katanya, Sidang Kemuncak ke 11 D-8 turut mencapai kata sepakat menyokong Deklarasi Kaherah yang membawa tema “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy.”
Jelasnya, beliau yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan itu menyampaikan Kenyataan Negara mengenai sokongan Malaysia kepada pembangunan belia terutama dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.
“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.
“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita, kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Peniaga kecil dan sederhana (SME) adalah tulang belakang daya tahan ekonomi dan inovasi,” katanya
Tambah beliau, dalam rangka kerja D-8, pengukuhan SME dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital antara negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Justeru, kata beliau, Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi kepada Kumpulan D-8 dan bersedia untuk bekerja secara kolaboratif dan strategik dengan semua negara anggota.
“Banyak yang boleh kita capai bersama jika dilakukan secara kolektif dan saling bekerjasama sesama negara D-8 terutamanya dalam meningkatkan ekonomi negara masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE