KLANG – Seorang penyelia kedai alat perkakasan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan lelaki dengan menggunakan kayu snuker dan topi keledar di rumah sampah pada minggu lalu.
Tertuduh, B. Surinderan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Surinderan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa berusia 20 tahun dengan kayu snuker, topi keledar dan wayar elektrik di bawah blok pangsapuri di Jalan Sungai Jati di sini pada pukul 12 tengah malam, 11 Disember lalu.
Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kes serius, namun peguam K.Nathiya dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang berasal daripada keluarga susah.
Tertuduh bekerja dengan pendapatan RM1, 600 dan menanggung ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung selain adik-beradik.
“Anak guam saya berjanji tidak akan mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai. Tertuduh dari keluarga yang susah.
“Ibu tertuduh juga membuat pinjaman daripada syarikat wang berlesen bagi menjamin anaknya. Tertuduh tiada masalah mematuhi syarat tambahan dikenakan mahkamah,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6, 000 dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan dan tidak mengganggu saksi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE