PETALING JAYA – Murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Sungai Nibong, Pulau Pinang dianugerahkan geran sebanyak €5,000 (RM23,350) setelah muncul juara dalam program VIA Safe Mobility 2024.
Program yang dianjurkan oleh TotalEnergies Malaysia dengan kerjasama Arus Academy itu bertujuan untuk menangani isu keselamatan jalan raya di negara ini.
Menurut Guru Besarnya, Leong Sook Luan, penyertaan murid dalam program berkenaan adalah untuk mengetengahkan permasalahan jalan raya di sekolah terutamanya melibatkan kesesakan lalu lintas, kelajuan kenderaan yang sukar dikawal serta sikap pengguna jalan raya yang mengabaikan keselamatan pejalan kaki.
“Keadaan lalu lintas yang sesak di luar kawasan sekolah merupakan isu yang membimbangkan dan saya berpendapat program ini dapat memperkasakan murid untuk mengambil tindakan bermakna.
“Saya menggalakkan guru dan murid untuk bekerjasama, membentuk pasukan yang berdedikasi dan menyertai inisiatif ini dengan sepenuh hati agar dapat melaksanakan perubahan positif,” katanya.
Pasukan SJKC Kwang Hwa terdiri daripada murid Tahun Enam dan dibimbing oleh tiga orang guru bagi membentangkan usul serta cadangan dalam menangani isu keselamatan jalan raya di sekolah.
Kata Sook Luan, muridnya akan menggunakan dana tersebut untuk merealisasikan visi mereka, menangani isu keselamatan jalan raya yang kritikal di kawasan sekolah dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi rakan-rakan sekolah serta penduduk setempat.
Sementara itu, Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia, Jennifer Li berkata, keselamatan jalan raya merupakan komitmen utama pihaknya kepada komuniti setempat.
“Mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat adalah penting dan ia harus bermula dengan pendidikan dan pemerkasaan generasi muda,” katanya.
Program VIA Safe Mobility merupakan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan keselamatan jalan raya dalam kalangan golongan muda di Malaysia.
Setakat ini, program berkenaan telah berjaya menarik 11,964 murid melalui platform DELiMA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan sumber digital interaktif percuma kepada sekolah selain memupuk pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyokong pendidikan berasaskan kurikulum. – KOSMO! ONLINE