SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada waris bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Salleh Abas.
Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad meninggal dunia pukul 3.20 pagi pada usia 91 tahun di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Sultan Sharafuddin bertitah, Allahyarham adalah seorang yang amat berwibawa dan berprinsip serta sentiasa mengutamakan Perlembagaan Negara dalam setiap tindakannya.
“Allahyarham merupakan hakim yang hebat dan orang berprinsip memperjuangkan kebebasan badan kehakiman dalam melindungi hak dan keistimewaan yang diperuntukkan dalam pelembagaan.
“Tun Salleh juga menegakkan kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa di bawah perlembagaan kita,” titahnya dalam laman rasmi Faceook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda berdua berharap agar keluarga Allahyarham terus tabah dan redha dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin. – K! ONLINE