MELAKA – Seorang jurulatih seni mempertahankan diri, silambam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya sejak November lalu.
Tertuduh berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 15 dan 13 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi pada awal November 2024 dan 2 pagi, 17 Disember 2024 di sebuah rumah bernombor dalam daerah Melaka Tengah.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTK 2017.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan jumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Katanya, tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri kepada pengawai penyiasat sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam tertuduh, R. Reena Nair kemudian merayu jaminan rendah sebanyak RM3,000 dibenarkan bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hujahnya, lelaki itu hanya bergantung pada yuran bulanan sebagai jurulatih silambam, selain mempunyai komitmen bulanan yang tinggi.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Azaraorni membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE