fbpx

‘Kalau murid yang jujur, esoknya dia bawa duit ganti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ramai pihak meluahkan rasa sedih apabila melihat sebahagian murid terutamanya di sekolah rendah sanggup menahan lapar gara-gara terlupa bawa duit belanja.

Selain itu, ada juga yang awalnya sudah diberikan duit belanja oleh ibu bapa, namun belum sempat waktu rehat, wang tersebut tercicir daripada poket baju atau seluar.

Berkongsi pengalaman, seorang pengusaha kantin sekolah, Bey Ngoh berkata, dia sering berdepan dengan situasi tersebut apabila ada murid hanya lalu melihat makanan dan duduk jauh di sudut kantin sambil memerhati rakan-rakan yang lain makan.

“Sebagai pak cik kantin selalu jumpa murid yang duit jatuh, ada yang kena ‘pau’ dengan kawan-kawan kelas. Selalunya yang tiada duit ini saya perasan dari jauh lagi muka sedih, duduk dekat meja jauh dari kawan-kawan.

“Saya akan tegur dan tanya ada masalah apa-apa kah? Insya-Allah saya akan sedekah ikhlas pada mereka. Kalau anak yang jujur sangat, esoknya dia bawa duit nak ganti, memang saya akan suruh dia simpan sebab niat nak sedekah,” katanya.

Sementara itu, tampil memberi reaksi berbeza, seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila tiada pihak yang sudi meminjamkan wang kepada anaknya kerana dia terlupa memberi duit belanja ke sekolah.

“Anak terlupa bawa duit belanja. Minta dengan cikgu, cikgu tak beri. Sampai hati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, ramai yang menyelar tindakan wanita itu dengan mengatakan kebanyakan guru di sekolah amat prihatin dengan keadaan murid-murid mereka.

“Ramai cikgu yang baik-baik sebenarnya. Ada yang sanggup beli kek untuk hari jadi muridnya.. cuma ibu bapa yang tidak tahu,” kata Dikah Lee.

“Dalam bekerja sebenarnya cikgu yang banyak habiskan duit untuk anak muridnya. Saya tahu sebab kakak saya cikgu, dan di sekeliling saya juga ramai cikgu,” komen pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI