KLANG – Seorang guru taska yang ditahan mencubit pipi dan telinga bayi lelaki berusia 11 bulan minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini yang merupakan hari pernikahannya.
Tertuduh, Nur Suhadah Saharudin, 24, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Disember depan untuk serahan dokumen dan jatuh hukum.
Nur Suhadah didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah taska di Puncak Alam dekat sini pada pukul 6.15 petang, 13 Disember lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50, 000 atau kedua-duanya.
Nur Suhadah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan.
“Saya mengaku bersalah dan janji tidak buat lagi. Hari ini adalah hari nikah saya, esok hari sanding saya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak bagaimanapun memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Kuala Selangor.
“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15, 000 dengan dua penjamin dikenakan ke atas tertuduh selain syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM10, 000 dengan seorang penjamin dan tidak mengganggu mangsa.
“Kalau ada aduan (mengganggu mangsa) jaminan akan ditarik balik serta-merta,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek mencubit pipi mangsa selain terdapat kesan cedera pada telinga bayi itu namun bukan dipial.
Siasatan awal polis turut mendapati guru taska terbabit tidak mempunyai sijil bertauliah. Suspek ditahan pada 14 Disember lalu selepas ibu bapa bayi berkenaan mendapati ada kesan lebam pada pipi dan telinga kanan anak mereka.
Difahamkan, pada awalnya, suspek memberi alasan lebam itu berpunca akibat terjatuh meja, namun, penyelia taska menghubungi bayi tersebut dan memaklumkan ia disebabkan tindakan pekerjanya. – KOSMO! ONLINE