PETALING JAYA – Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa bermula hari ini hingga 2 Januari 2025.
Sehubungan itu, PLUS telah membuat persediaan untuk menguruskan peningkatan trafik melalui pelbagai pendekatan bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.
“Antara langkah yang diambil adalah meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda di sepanjang lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
“Selain itu, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan dari 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan,” katanya.
PLUS turut menugaskan lebih 4,000 kakitangan dalam ekosistem lebuh raya, termasuk di plaza-plaza tol, anggota PLUSRonda, kakitangan penyelenggaraan, Pusat Pemantauan Trafik dan anggota RELA, bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang perjalanan.
Bukan itu sahaja, maklumat trafik terkini akan disediakan melalui pelbagai saluran termasuk Aplikasi PLUS, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, Aplikasi X @PLUSTrafik, laman media sosial PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, dan saluran stesen radio utama negara.
“Untuk menangani kesesakan di lokasi-lokasi kritikal sepanjang lebuh raya pada waktu-waktu puncak, PLUS juga akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 25 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS,” tambahnya.
Langkah ini diambil untuk membantu melancarkan pergerakan trafik dan menambah kapasiti lorong di lokasi-lokasi yang terjejas akibat peningkatan jumlah kenderaan.
Dengan langkah-langkah ini, PLUS berharap dapat memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa kepada semua pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan Krismas dan cuti hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE