fbpx

‘Hidupkan gambar dengan tujuan berduet boleh datangkan aib’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Syed menegur penyanyi Nora Ariffin secara terbuka berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menampilkan wajah arwah suaminya.

PETALING JAYA – Penceramah bebas, PU Syed, menegur penyanyi Datuk Nora Ariffin secara terbuka berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menampilkan wajah arwah suaminya ketika Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey, kelmarin.

Menurut PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd. Bakri Syed Ishak, 40, teguran tersebut diberikan kerana perbuatan menghidupkan gambar tanpa tujuan baik dianggap tidak selari dengan hukum syarak.

“Dia (Nora) buat duet bersama dengan arwah suaminya ketika konsert. Perbuatan menggerakkan gambar tanpa tujuan yang baik maka tidak dibenarkan.

“Kepada Nora, harap tidak melakukan perkara seperti itu sebab tidak dibenarkan oleh syarak.

“Menghidupkan gambar dengan tujuan berduet untuk menyanyi boleh mendatangkan keaiban kepada beliau dan arwah,” katanya menerusi video dalam Instagram.

Tambah Syed, tindakan tersebut boleh menimbulkan persoalan dari sudut hukum dan perasaan keluarga terutama suami, memandangkan Nora kini sudah kembali berumah tangga.

“Kemudian Puan Nora merupakan isteri kepada orang lain.

“Kena jaga hati suami supaya tidak menyakiti hatinya,” jelasnya.

Syed juga turut menyarankan pelantun lagu Samudera itu agar merujuk kepada pihak berautoriti seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai perkara tersebut.

Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan pandangan bercampur-baur dalam media sosial.

Ada yang bersetuju dengan teguran PU Syed, manakala segelintir mempertahankan tindakan Nora sebagai satu bentuk penghormatan kepada arwah suaminya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI