KUALA LANGAT – Gara-gara mengelak terlepas penerbangan ke luar negara membuatkan seorang pemuda sanggup menghalang laluan ambulans dalam kejadian di Jalan Klang – Banting di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu juga mendapati pemandu berusia 20an itu enggan mengalah meskipun telah dihon dan diarahkan membuka laluan sebanyak tiga kali dengan menggunakan pembesar suara ambulans.
Insiden itu tular menerusi video berdurasi 59 saat yang dimuat naik pemandu ambulans berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati semasa kejadian ambulans tersebut dalam perjalanan ke Hospital Banting dari Klinik Kesihatan Jenjarom.
Katanya, sebaik tiba dilokasi didapati sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV)
jenis Toyota Corolla Cross telah bertindak tidak memberi laluan kepada ambulans yang memasang lampu mentarah (beacon light) dan siren kecemasan.
Pemandu ambulans yang merupakan lelaki tempatan berusia 30an kemudiannya telah hadir ke memberikan keterangan kepada pihak polis.
“Ketika kejadian ambulans tersebut membawa pesakit dengan SUV itu didapati memandu secara berbahaya dan menghalang pergerakan ambulans selama 20 saat berdasarkan video tular tersebut.
“Kita kemudiannya telah berjaya mengesan pemilik SUV yang juga bapa kepada pemandu tersebut di sekitar Banting kira-kira pukul 11.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati pemandu SUV bertindak sedemikian kerana mengejar masa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Ini kerana pemandu dikatakan bimbang terlepas masa penerbangan ke China.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Justeru, Akmalrizal Radzi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Taneswaran ditalian 012-6708561 atau 03-31872222 dan mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
Caption