KLANG – Khidmat Bas Hop on Hop Off (Ho Ho) menjadi tarikan baharu kepada pelancong transit melawat tempat menarik sekitar daerah ini, pada tahun depan.
Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, ia memfokuskan kepada pelancong yang menaiki kapal persiaran yang transit di Pelabuhan Klang sehingga enam jam.
Katanya, perkhidmatan itu juga selaras Tahun Melawat Selangor 2025 dalam merancakkan sektor pelancongan di negeri secara amnya.
“Ia akan membawa pelancong transit melawat monumen bersejarah, tempat makan dan melancong ke Pulau Ketam.
“Selain itu, membeli-belah di Little India di Jalan Tengku Kelana dan GM Klang ( yang terkenal sebagai produk pelancongan beli belah di Klang,” katanya kepada pemberita di Dewan Hamzah MBDK di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun kadar tambang bagi perkhidmatan itu belum ditentukan dan bakal beroperasi awal tahun hadapan.
“Untuk rekod, daerah Klang telah dilawati seramai 459,979 pelancong sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE