PETALING JAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, diuruskan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) melaksanakan Latihan Kecemasan Berskala Penuh sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk mengekalkan tahap keselamatan dan kesediaan tertinggi.
Simulasi itu melibatkan sebuah pesawat yang mengalami masalah teknikal hingga menyebabkan ia terkeluar dari landasan dengan impak tinggi, terhempas semasa pendaratan, mengalami kebakaran dan berhenti di tepi apron kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, Kennedy Ayu berkata, latihan tersebut hanyalah simulasi bertujuan menilai dan mempertingkatkan keberkesanan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP).
Menurutnya, AEP merupakan pelan kontingensi komprehensif untuk memastikan semua pihak berkepentingan yang terlibat dapat mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku kecemasan sebenar.
“Latihan ini telah diwajibkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mematuhi Manual Bahagian 7 oleh Perkhidmatan Lapangan Terbang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Sebagai pintu masuk utama ke Wilayah Selatan bagi perjalanan udara, latihan kecemasan berskala penuh seperti ini amat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia membantu menguji keupayaan menguruskan kecemasan dalam keadaan sebenar dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan utama seperti perkhidmatan kecemasan, responden perubatan, pihak berkuasa kawal selia dan agensi-agensi lain.
“Fokus simulasi ini adalah untuk memperkukuh 3C – Komunikasi, Koordinasi dan Kawalan (Communication, Coordination and Control) yang menjadi tonggak utama
dalam memberikan tindak balas kecemasan yang berkesan.
“Menerusi latihan ini, kami dapat mengenal pasti kelemahan, menangani kekurangan dan meningkatkan kerjasama serta prosedur demi memastikan kami sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang situasi.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan hasil terbaik bagi seluruh komuniti di lapangan terbang,” ujarnya.
Semasa simulasi tersebut, sebuah pesawat buatan telah disediakan berdasarkan pesawat biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan seramai 100 penumpang dilakonkan oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia melibatkan panggilan kecemasan dari pesawat tersebut adalah ‘crash on-airport’.
Lebih 200 peserta mengambil bahagian melibatkan kakitangan lapangan terbang, keselamatan, perkhidmatan memadam kebakaran serta kakitangan syarikat penerbangan. – KOSMO! ONLINE