TANJING MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) kelmarin bagi memperkukuh pendidikan tinggi melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, MoU yang termeterai di INTAN, Kuala Lumpur itu membentuk kerjasama strategik sebagai langkah penting untuk menyediakan laluan pendidikan fleksibel dan inklusif kepada penjawat awam.
“Melalui kerjasama ini, penjawat awam berpeluang mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebagai kredit pengajian bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Pendidikan (EdD).
“Ini bukan sahaja memendekkan tempoh pengajian, tetapi juga mempermudahkan akses kepada pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam majlis menandatangani MoU itu, UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor( Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor.
Beliau berkata, langkah itu juga menyokong pembangunan modal insan dengan menawarkan laluan pembelajaran yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik penjawat awam.
“MoU tersebut turut memberi tumpuan kepada beberapa komponen utama, antaranya promosi laluan APEL, perkongsian kemudahan dan pembangunan modul,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini, UPSI menawarkan pelbagai program pascasiswazah melalui laluan APEL, termasuk program dalam Seni Persembahan, Sains Sukan, dan Doktor Pendidikan (EdD).
“Program-program ini direka untuk memenuhi keperluan sektor awam dan industri, dengan memfokuskan kepada pengajian fleksibel seperti mod kerja kursus dan mod campuran.
“Selain penjawat awam, program ini turut menyasarkan pekerja sektor swasta dan orang awam, dengan inisiatif ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ bagi meningkatkan kebolehpasaran serta memudahkan peralihan kerjaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE