JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia menunjukkan penampakan misteri bayang hitam menyerupai susuk badan manusia di langit ketika waktu senja, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Imej itu dirakam seorang lelaki ketika dia menyaksikan matahari terbenam di sebuah pantai di Kolaka, wilayah Sulawesi Tenggara.
Dalam video itu, satu bayang hitam yang kelihatan seperti manusia sedang berdiri, dilihat berada di hadapan matahari yang sedang terbenam.
Ia bagaimanapun tidak bergerak, namun perakam menggerakkan kamera telefon bimbitnya bagi membuktikan ia bukan objek di hadapan peranti tersebut.
Video itu menjadi tular di media sosial dengan ramai pengguna meneka bahawa ia adalah satelit.
Seorang seorang ahli astronomi di Indonesia, Marufin Sudibyo berkata, bayangan hitam itu berkemungkinan besar adalah fenomena cahaya senja atau sinaran krepuskular (crepuscular rays).
Ini kerana bentuk bayang hitam itu kabur, tetapi boleh dilihat secara kasar dan terdiri daripada dua bahagian
Fenomena itu menyebabkan sebahagian cahaya Matahari terhalang dan mewujudkan zon bayangan (kawasan ‘dimmer’). – Agensi