JERLUN – Sebanyak RM10.48 juta bantuan wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) diserahkan kepada 4,854 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terjejas banjir September lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan itu bagi meringankan beban yang ditanggung pesawah terlibat selain sebagai suntikan modal untuk mereka meneruskan aktiviti penanaman padi.
“Kesemua 4,854 pesawah MADA yang menerima bantuan itu terkesan dan terjejas akibat bencana banjir melibatkan keluasan 5,976.02 hektar sawah padi mereka yang rosak pada September dan Oktober lalu.
“Bayaran kepada pesawah-pesawah terlibat akan disalurkan terus ke akaun bank masing-masing pada Januari ini,” katanya pada Program Ihsan Madani Penyerahan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut menyalurkan sebanyak RM26.48 juta kepada 44,139 pesawah MADA di bawah BKST bagi meringankan beban serta membela nasib pesawah.
“Penyerahan BKST ini adalah satu skim bantuan khusus untuk golongan pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh kementerian di mana sebanyak RM200 sebulan akan diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman padi.
“Pemberiannya mula disalurkan tahun lalu selepas dibentangkan dalam sesi Belanjawan 2023. Pesawah yang layak akan menerima bantuan tunai yang disalurkan terus ke akaun sedia ada atau akaun Agrobank dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh pengesahan oleh MADA,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan agar pesawah khususnya di kawasan MADA untuk menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sebagai perlindungan menghadapi risiko terjejas tanaman padi disebabkan oleh faktor bencana alam seperti banjir, kemarau, ribut, penyakit tanaman atau perosak. – KOSMO! ONLINE