SHAH ALAM – Persidangan Dewan Negeri Undangan (DUN) bagi penggal akan datang diawalkan kepada 18 Februari depan mengikut kesesuaian sambutan bulan Ramadan.
Speaker DUN negeri, Lau Weng San berkata, sesi mesyuarat DUN itu dijadualkan berlangsung selama 10 hari dan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Selain itu, 11 dan 17 Februari depan masing-masing merupakan Hari Thaipusam dan pembukaan sesi persekolahan.
“Jadi, kita merasakan tarikh yang ditetapkan bagi Sidang DUN kelak sesuai bagi memastikan ia dapat selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2024 di Dewan Raja Muda Muda, Seksyen 7 di sini, petang ini.
Menurut Weng San, persidangan sebelum ini kebiasaannya berlangsung pada Mac sebelum disambung pada penggal berikutnya.
Ditanya mengenai fokus sidang itu kelak, kata beliau, titah ucapan Sultan Sharafuddin akan menjadi tumpuan utama selain isu banjir akan turut difokuskan berdasarkan perbahasan pada sesi mesyuarat penggal sebelum ini.
Pada Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor bulan lalu, sebanyak empat rang undang-undang (RUU) serta sembilan usul diluluskan antaranya RUU Perbekalan 2025, RUU Perbekalan Tambahan 2024, RUU Enakmen Diraja dan RUU Pindaan Tabung Biasiswa. – KOSMO! ONLINE