fbpx

Bank Rakyat institusi kewangan pertama pasang solar PV bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hairol Azizi (kanan) dan Nor Haimee menunjukkan dokumen kerjasama antara Bank Rakyat dan Cenergi bagi pemasangan sistem solar PV bumbung di 84 cawangan Bank Rakyat di Semenanjung.

PETALING JAYA – Bank Rakyat mengumumkan kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) untuk melaksanakan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung di 84 cawangannya di Semenanjung.

Menerusi projek tersebut, ia menjadikan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan pertama yang memasang solar PV bumbung di Malaysia bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sendiri.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi dan Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, inisiatif ini akan memberi impak bukan sahaja kepada Bank Rakyat, bahkan sektor kewangan dan masyarakat secara keseluruhan seiring dengan pelan strategik BR25 yang meletakkan kelestarian sebagai salah satu teras utama.

“Dengan kerjasama ini, kami bukan sahaja mengambil langkah besar dalam memastikan kelestarian tenaga di bangunan milik Bank Rakyat, tetapi juga menyumbang ke arah aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif korporat bagi mendukung aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara ke arah peningkatan penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu kepada 31 peratus dan 40 peratus menjelang tahun 2025 dan 2030.

Program Pemeteran Tenaga Bersih ini selaras dengan usaha negara untuk peralihan tenaga bersih dan mencerminkan komitmen Bank Rakyat terhadap kelestarian alam sekitar.

Ia selari dengan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi sebuah institusi kewangan neutral karbon melalui inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui dan selebihnya menerusi projek-projek ofset karbon (carbon offset).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, inisiatif berkenaan akan membolehkan cawangan Bank Rakyat yang terlibat mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sehingga 4,000 MWh setahun dan pengurangan jejak karbon sebanyak 3,096 tan setahun, bersamaan dengan penanaman 51,000 pokok.

“Cenergi amat berbesar hati untuk berkongsi kepakaran kami dalam sektor tenaga lestari serta membantu merealisasikan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi insitusi kewangan neutral karbon di Malaysia.

“Bermula seawal pertengahan tahun hadapan, Bank Rakyat dijangka mampu menjimatkan kos penggunaan elektrik di cawangan yang terbabit sehingga RM15 juta untuk tempoh 25 tahun akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI