PETALING JAYA – Seorang lelaki tidak bertegur sapa dengan isterinya hampir sebulan gara-gara berkecil hati dengan gurauan berkaitan tidak menghadiahkan barangan kemas kepada wanita tersebut.
Kisah itu diceritakan oleh pengamal undang-undang syarie, Anas Jamaluddin berhubung aduan diterima daripada wanita tersebut berkenaan suaminya yang tidak bercakap hampir sebulan.
“Suami saya ni kerja biasa-biasa ustaz. Makan pakai saya semua dia tanggung cukup, cuma bab duit belanja tu memang banyak saya yang ‘cover’ sebab gaji saya lagi banyak daripada dia.
“Saya tak kisah pun cuma saya selalu bergurau dengan dia bab kurang duit belanja, tak ada niat apa pun cuma nak bergurau. Selalu dia ok gelak-gelak, tapi guruan saya yang akhir ni buat dia diam seribu bahasa
“Saya beli barang kemas tayang kat suami, saya gurau ‘ni beli duit saya sendiri tau, nak harap abang bila entah’,” katanya menceritakan kembali perbualan dengan wanita tersebut.
Anas berkata, akibat gurauan itu, suami wanita itu terus berubah wajah dan menjadi pendiam serta melayani isterinya seperti acuh tidak acuh.
“Saya perasan muka dia berubah lepas tu diam terus. Masuk hari ini dah sebulan dia layan saya nak tak nak sahaja. Minta maaf (kepada suami) begitu saja lah, saya fikir takkan sebab gitu pun nak marah,” ujarnya mengulangi dialog wanita itu.
Dalam pada itu, Anas menasihati wanita tersebut bahawa gurauan berkenaan mungkin dianggap remeh oleh si isteri, namun suaminya sudah lama memendam rasa.
“Dia dah lama rasa rendah diri bila selalu bergurau begitu. Wanita itu mungkin anggap perkataannya sekadar gurauan, tetapi bagi suami itu penghinaan.
“Berhati-hati duhai para isteri, suamimu adalah laluanmu ke syurga,” katanya. – KOSMO! ONLINE