SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan bantuan berjumlah RM26.5 juta untuk disalurkan kepada 825 buah sekolah di seluruh negeri ini.
Pengagihan itu meliputi Sekolah Agama Rakyat; Sekolah Kebangsaan (SK); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Ia turut melibatkan Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan menerusi inisiatif Iltizam Selangor Penyayang itu bagi membaik pulih infrastruktur selain penyediaan pengajaran dan pembelajaran kondusif kepada guru serta pelajar.
“Bagi tahun ini, kesemua bantuan RM26.5 juta itu selesai disalurkan sepenuhnya kepada sekolah yang telah diluluskan permohonan sebelum ini.
“Proses itu dilaksanakan secara atas talian bagi memudahkan urusan permohonan semua sekolah terlibat,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor itu di Dewan Raja Muda Muda, Seksyen 7 di sini, petang ini.-KOSMO! ONLINE