PUTRAJAYA – Seramai 1,200 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara diatur gerak dalam menguatkuasakan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini hingga 26 Januari depan.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, gerak kerja dalam operasi bersepadu, Ops Covid-19 itu bertujuan membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP di seluruh negara.
“Gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan atau lokaliti tertentu di seluruh negara yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya.
“Ia akan dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu Rondaan Jalan Utama Negeri dan Lebuh Raya; Sekatan Jalan Raya yang Mengkhususkan Kenderaan Awam serta Pemeriksaan dan Pemantauan Di Terminal Bas Utama,” katanya.
JPJ berkata, Ops Covid-19 akan menyasarkan semata-mata kepada kepatuhan aspek prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, selain itu, ia melibatkan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987.
“Kolaborasi mapan antara JPJ dan PDRM adalah suatu manifestasi jelas di dalam merealisasikan aspek penguatkuasaan SOP dengan lebih serius sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKP.
“Langkah atau pendekatan bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat,” katanya. – K! ONLINE