KUCHING – “Ya Allah kenapa orang sanggup buat kamu macam ini. Baik-baik di sana (alam baharu) cucuku.”
Demikian kata-kata terakhir diungkapkan Harian Bujang, 82, cucu kepada Nurul Asikin Lan @ Amoy, 28, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam seorang lelaki baru-baru ini.
Jenazah arwah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Sebaik selesai dikebumikan, Harian kelihatan hampir pitam ketika memeluk batu nisan di pusara cucu kesayangannya itu, sambil ditenangkan ahli keluarga yang lain.
Malah ketika jenazah Amoy tiba di tanah perkuburan terbabit, ibunya, Nasib Kantok, 60, turut kelihatan lemah sebelum dipapah oleh orang ramai dan ditenangkan.
Semalam, polis mengesahkan mayat wanita yang dijumpai hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya di sini Sabtu lalu adalah Nurul Asikin atau lebih dikenali dengan panggilan Amoy yang dilaporkan hilang sejak 5 Disember lalu.
Penemuan mayat itu susulan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 23 tahun, yang turut mengakui melakukan pembunuhan itu demi mendapatkan wang bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu.-KOSMO! ONLINE