BALIK PULAU – Belum ada sebarang berita penemuan dua pemuda yang dilaporkan hilang semasa keluar memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang di sini, sejak Selasa lalu.
Kehilangan mangsa, Nor Hasrul Abdullah, 25, yang berasal dari Paya Kongsi, dan rakannya, Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dari Titi Teras dikatakan sudah menghampiri 48 jam, selepas kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 7 malam itu.
Seorang nelayan dari Kuala Sungai Pinang, Bidin Rosli, 34, berkata, dia ada menemui kedua-dua mangsa terbabit selepas melabuh pukat di tengah perairan di situ pada pukul 7.15 malam.
Menurutnya, ketika itu kedua-dua lelaki berkenaan juga sedang melabuhkan pukat di lokasi sama dan memaklumkan yang bot mereka naiki mengalami kerosakan.
“Semasa itu angin di laut sangat kuat dan air berkocak-kocak (beralun). Saya berikan mereka sauh dan segera menghubungi rakan di darat untuk berikan bantuan.
“Saya pula bawa bekalan minyak cukup-cukup. Kejadian berlaku kira-kira empat hingga lima batu dari darat,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Ceritanya lagi, sebelum ini kedua-dua mangsa terbabit akan turun ke laut bersama beberapa nelayan lain dan tidak pernah pergi berdua.
“Tidak sangka kejadian ini berlaku. Saya difahamkan salah seorang mangsa kali terakhir ada menghubunginya ibunya pada pukul 12 malam (Rabu) untuk memaklumkan keadaan bot yang mula dimasuki air.
“Saya yakin mereka masih selamat dan dihanyutkan ke tengah laut. Operasi pencarian turut dibantu nelayan di sini sejak laporan kehilangan mereka.
“Petang ini, kami terdiri 20 nelayan akan turut sama menjalankan operasi dengan menggunakan empat buah bot,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua pemuda hilang dipercayai selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan sebelum hanyut semasa keluar memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh salurkan maklumat ke Bilik Gerakan Polis Barat Daya ditalian: 04-8664122 atau mana-mana balai berhampiran. -KOSMO! ONLINE