PETALING JAYA – Hidangan tradisional Malaysia, nasi ulam bunga telang berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Sustainability Award di pertandingan berprestij World King of Chefs Summit Japan 2024 baru-baru ini.
Chef Safura Mohd, yang mencipta resepi unik ini, mengumumkan berita gembira itu menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah atas kemenangan ini,” tulisnya dengan penuh kesyukuran.
Pertandingan tersebut menampilkan lima kategori iaitu Well-being, Sustainability, Creativity, Healthy Beauty, dan Plant-Based Award, dengan tema Healthy & Plant-Based Food. Panel hakim terdiri daripada lima chef terkenal dari Jepun.
Menurut Chef Safura dalam hantarannya, dia amat berbangga kerana dapat memperkenalkan nasi ulam bunga telang yang merupakan hidangan tradisional masyarakat Malaysia kepada dunia.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia di Tokyo, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, serta isteri beliau, Datin Suriyah Abdullah, atas sokongan tidak berbelah bahagi.
Tidak ketinggalan, pembantu-pembantu beliau dan pelajar kulinari dari Jepun, yang membantu melaksanakan tugasan dengan cemerlang.
“Terima kasih juga kepada keluarga tersayang di Malaysia serta keluarga besar saya di Jepun yang sentiasa mendoakan dan menyokong,” ujar beliau.
Pertandingan ini ditaja oleh Pasona Group dan menjadi platform penting untuk mempromosikan masakan sihat dan mesra alam ke peringkat antarabangsa.
Dengan kemenangan ini, nasi ulam bunga telang bukan sahaja mengangkat martabat masakan tradisional Malaysia, malah menyerlahkan elemen kelestarian dalam seni kulinari global. – KOSMO! ONLINE