KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 24 laporan berkait pempengaruh ‘Kim Seri’ atau @kimseri_eina dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa-mangsa difahamkan mengalami kerugian mencecah RM454,450.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
“Sebahagian daripada kes turut dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihati mangsa terlibat untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran agar satu siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan.
“Sebagai langkah pencegahan, individu yang berhasrat untuk membeli pakej pelancongan dinasihatkan membuat semakan pendaftaran agensi melalui portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di pautan www.motac.gov.my/semakan/.
“Langkah ini amat penting bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat tidak berdaftar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.