PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap pengadil dan pengadil VAR perlawanan Liga Super melibatkan Sri Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik.
Timbalan FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, FAM sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengadil dan pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan tersebut.
“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.
“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad kecewa dengan mengecam mutu pengadilan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli yang disifatkan berat sebelah selepas pasukannya tewas 1-3 kepada skuad Harimau Selatan.
Menurut Fandi, tiada pemain JDT dikenakan layangan kad ketika penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman beberapa kali dikasari sedangkan anak-anak buahnya menerima tiga layangan kad kuning. – KOSMO! ONLINE