MARANG – Seorang pengetua sebuah sekolah menengah terkenal di daerah ini dihadapkan atas dua pertuduhan berkomunikasi secara lucah dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya pada lima bulan lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Tajudin Mokhtar, 59, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun lima bulan.
Mohd. Tajudin didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menunjukkan gambar-gambar perempuan seksi melalui telefon bimbit kepada mangsa tersebut di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan Mohd. Tajudin dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abd. Razak manakala Mohd. Tajudin pula diwakili Abdul Haiyyi Salim. – KOSMO! ONLINE