SEJAK usia kanak-kanak, wanita berusia 30-an itu sangat gemar menonton filem Bollywood menerusi siaran televisyen terutamanya pada hujung minggu.
Disebabkan terlalu banyak menonton filem dari India itu, Ziana (bukan nama sebenar) amat teruja tertarik dengan rupa pelakon-pelakon lelakinya yang tampan.
Antara pelakon yang menjadi pujaan wanita berasal dari Pulau Mutiara itu ialah Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Hrithik Roshan dan Abhishek Bachchan.
Pengaruh filem berkenaan ternyata cukup besar dalam hidup Ziana sehingga dia memasang impian untuk mempersuamikan lelaki yang memiliki raut wajah seperti bintang pujaannya itu.
Ziana menetapkan lelaki yang ingin menjadi suaminya haruslah memiliki rupa paras menawan, berhidung mancung, berkulit sawo matang dan berambut lurus.
Selepas tamat persekolahan tingkatan lima, Ziana berkenalan dengan beberapa orang lelaki tempatan, namun rupa paras mereka masih belum memenuhi kriteria yang diidamkannya.
Pada satu hari, seorang pemuda yang berasal dari Pakistan bertandang ke rumah Ziana untuk menjual karpet dan pakaian. Lelaki berkenaan dipelawa masuk ke rumah oleh ibunya.
Sebaik terpandang Hamid (bukan nama sebenar), Ziana terus terpikat dan rasa jatuh cinta dengan rupa paras lelaki berusia 30-an itu.
“Hamid memiliki ciri-ciri lelaki idaman yang saya didambakan selama ini. Ia membuatkan saya berasa ingin berkenalan dengan lebih rapat dengan Hamid,” katanya ketika di temu bual baru-baru ini.
Lari dari rumah
Sebelum Hamid pulang, Ziana sempat bertukar nombor telefon dengan Hamid sekali gus membuka ruang lebih luas baginya untuk mengenali pemuda dari negara Asia Selatan itu.
Bermula dengan mesej-mesej ringkas menerusi telefon bimbit, hubungan Ziana dan Hamid menjadi semakin serius. Pada hujung minggu, mereka berdua sering menghabiskan masa dengan bersiar-siar bersama di pekan.
Pada satu ketika, Hamid menyatakan keinginannya untuk memperisterikan Ziana secara sah.
Hasrat murni Hamid itu telah disampaikan Ziana kepada kedua-dua ibu bapanya.
Malangnya, permintaan tersebut ditolak mentah-mentah oleh keluarganya kerana bimbang Ziana akan hidup sengsara di kemudian hari apabila berkahwin dengan seorang lelaki yang berbeza adat dan budaya daripada mereka.
“Meskipun keluarga menolak, namun kerana terlalu mencintainya, saya tetap ingin berkahwin dengan Hamid.
“Tanpa berfikir panjang, saya nekad untuk lari dari rumah untuk mengikut Hamid walau ke mana sahaja.
“Hamid menyatakan berhasrat untuk membawa saya pulang ke kampung halamannya di Pakistan sebelum merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan saya,” ujarnya.
Selepas seminggu berada di sana, Hamid telah membuat kejutan kepada Ziana. Hamid memberitahu dia sebenarnya sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak.
Sebaik mengetahui perkara tersebut, perasaan dan impian Ziana selama ini terus berkecai dan mula memikirkan untuk pulang ke pangkuan keluarga di Malaysia.
“Perasaan saya mula rasa bercelaru dan tertipu dengan Hamid. Saya tidak mahu hidup bermadu di negara orang. Disebabkan itu, saya mula memikir untuk lari daripada Hamid dan pulang ke tanah air,” ujar Ziana.
Memburukkan lagi keadaan, kehidupan keluarga Hamid di Pakistan sangat susah dan serba kekurangan, sekali gus menyukarkan Ziana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
Di sana, tiada bekalan elektrik dan air bersih selain bekalan makanan juga terhad.
Malah, Ziana terpaksa membantu keluarga Hamid menanam sayur dan menternak kambing untuk kegunaan harian.
“Semua gambaran indah yang bermain di minda selama ini ternyata berbeza sama sekali. Saya sangat tertekan hidup di sana yang serba kekurangan.
“Saya memang ingin pulang ke Malaysia, namun tidak ada duit untuk membeli tiket penerbangan,” tegasnya.
Disebabkan itu, Ziana memilih lari ke Islamabad untuk mengadu nasib di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana dengan harapan dapat pulang ke Malaysia.
Dia juga berharap pihak berkenaan dapat menyediakan wang bagi membeli tiket kapal terbang untuk membolehkannya pulang ke tanah air secepat mungkin.
“Pihak suruhanjaya telah berhubung dengan keluarga di tanah air terlebih dahulu untuk mengetahui situasi sebenar, sebelum bersetuju untuk membawa saya pulang ke tanah air.
“Selepas tahu akan kembali ke pangkuan keluarga, saya berasa sangat gembira kerana dapat lari daripada Hamid,” jelasnya.
Katanya, dia sangat menyesal atas tindakannya untuk kahwin lari bersama Hamid disebabkan keinginan hidup bersama dengan lelaki yang memiliki wajah menyerupai pelakon Hindustan.